Nampaknya dengan pelbagai berita yang keluar mengenai cip pemprosesan AMD Ryzen terbaru, pihak Intel turut tidak ingin ketinggalan. Dalam senyap-senyap, mereka nampaknya ada perancangan untuk menandingi CPU dari Team Red itu.
Cip pemprosesan yang terbaru ini dikatakan akan dikenali dengan nama kod Kaby Lake-X, yang terdiri daripada Intel Core i7-7740K dan Intel Core i5-7640K. Kedua-dua CPU ini akan menggunakan arkitektur yang sama. Kod nama untuk cipset tersebut juga telah dikemaskini, dan kini dikatakan bakal dinamakan X299, menggantikan X99 yang digunakan oleh Haswell-X sebelum ini.
Berdasarkan laporan dari WCCFTech, cip pemprosesan Intel yang baru ini akan menggunakan nod proses 14nm+, yang dikatakan akan memberikan kecekapan dan prestasi yang lebih bagus.
CPU Intel Core i7-7740K dikatakan akan menjadi cip pemprosesan yang terpantas di dalam siri Kaby Lake. Kelajuan asas cip pemprosesan 4-teras, 8-thread ini dicatat pada aras 4.3GHz, dan dengan teknologi Boost Clock, ianya mampu pergi sepantas 4.5GHz dengan begitu sahaja.
Walaubagaimanapun, CPU ini akan mempunyai TDP (Total Drawn Power) sebanyak 112W, sedikit lebih tinggi dari CPU 8-teras AMD Ryzen, yang hanya menggunakan TDP 95W.
CPU Intel Core i5-7640K pula dijangka menjadi CPU Intel Core i5 yang pertama yang termasuk di dalam kategori HEDT (High End Desktop) Intel. CPU ini mempunyai kelajuan 4.0GHz, akan tetapi, berdasarkan laporan, kelajuan selepas Boost Clock juga adalah 4.0GHz.
TDP CPU Intel Core i5-7640K ini berada di aras yang sama dengan CPU Kaby Lake-X i7-7740K dengan jumlah penggunaan kuasa 112W.
CPU-CPU dari siri Kaby Lake-X ini akan menggunakan papan induk bersoket LGA2066, dan akan mempunyai sokongan quad-channel memory, dan lorong PCIe yang lebih banyak untuk menyokong teknologi-teknologi seperti AMD CrossFireX dan NVIDIA SLi, dan juga penggunaan PCIe SSD yang semakin popular di kalangan pembina PC sekarang.
Laporan daripada Benchlife pula menyatakan bahawa CPU-CPU Kaby Lake-X dan Skylake-X akan diketengahkan pada bulan Ogos nanti.
Apa-apa pun, nampaknya era peperangan CPU desktop di antara Intel dan AMD sudahpun bermula. Sesiapa pun yang menang, kami dapat rasakan pengguna-pengguna yang akan untung juga di hujung hari.