Semakin dekat kita dengan tarikh pelancaran rasmi AMD Ryzen, semakin banyak nampaknya ketirisan yang hadir mengenai cip pemprosesan tersebut.
Terkini, laman web Bottom Line Telecommunications telah mengeluarkan tanda harga untuk tiga CPU AMD Ryzen, iaitu R7 1800X, R7 1700X dan juga R7 1700. Ketiga-tiga CPU ini merupakan cip pemprosesan yang utama buat AMD, dan nampaknya model-model inilah yang akan dijual terlebih dahulu sebelum yang lain.
Berdasarkan senarai harga tersebut, CPU R7 1800X, yang dikatakan akan bersaing dengan cip pemprosesan Intel i7-6900K akan dijual pada harga $490 (~RM2177). CPU R7 1700X pula akan dijual pada harga $381 (~RM1693), dan akan bertanding dengan cip Intel Core i7-7700K serta i7-6800K. Akhir sekali, CPU R7 1700 pula berharga $316 (~RM1404), dan akan berlaga dengan Intel Core i7-7700.
Ada kemungkinan harga-harga untuk pasaran Malaysia akan jadi agak berbeza, tetapi tanda-tanda harga ini boleh menjadi penanda aras tatkala CPU AMD Ryzen ini boleh dibeli di sini.
Sekiranya ketirisan mengenai info harga ini adalah benar, maka tidak mustahil untuk kita melihat cip ini menjadi pesaing dan pilihan ramai pengguna yang ingin membina komputer – terutama sekali dengan harga R7 1800X, kerana pesaingnya, Intel Core i7-6900K berharga RM4643, berdasarkan harga senarai harga kedai komputer tempatan.