Perdebatan privasi pengguna di Facebook bukan sesuatu yang baru – apatah lagi kebanyakkan pengguna umum yang tidak membuat tetapan perkongsian hanya had untuk rakan-rakan mereka sahaja. Sekitar beberapa tahun lepas, Facebook turut telah memperkenalkan fungsi Graph Search yang memudahkan proses pencarian sesuatu perkara – tetapi kebanyakkan pengguna tidak menggunakannya atau mungkin tidak begitu mempedulikan mengenainya.
Terkini, sebuah laman dinamakan StalkScan hadir, mengambil kelebihan Graph Search pada Facebook. Melaluinya, ia menyediakan pelbagai pautan pantas ke carian mengikut kata kunci tertentu dalam membolehkan anda mengimbas sesuatu profil dengan mudah.
Pengguna hanya perlu memasukkan alamat URL seseorang pengguna pada kotak carian StalkScan, dan seterusnya memilih carian tertentu untuk melihat data-data berkaitan.
Sebagai contoh, anda boleh melihat gambar-gambar berkaitan seseorang pengguna, rakan-rakan mereka, ahli keluarga, rakan sekerja, perkongsian berkaitan, dan sebagainya.
Seperti biasa, info yang dipaparkan adalah terhad kepada info awam sahaja, sementara info yang ditetapkan sebagai untuk rakan-rakan atau diri sendiri tidak dipaparkan pada StalkScan ini – sekaligus membuatkan ia tidak bertentangan dengan terma perkhidmatan Facebook.