Setelah NVIDIA mengumumkan kehadiran kad grafik terpantas mereka, NVIDIA GTX 1080 Ti, nampaknya semakin berpusu-pusu rakan kerjasama pembuat kad grafik NVIDIA yang ingin mengeluarkan variasi mereka tersendiri.
Terkini, GIGABYTE baru sahaja mengumumkan kad grafik 1080 Ti mereka tersendiri, iaitu GIGABYTE GTX 1080 AORUS Extreme Edition. Kad grafik AORUS Extreme Edition ini menggunakan penyejuk GIGABYTE WindForce yang terbaru, terdiri daripada sebuah blok aluminum yang menyejukkan cip pemprosesan grafik, dan juga tiga kipas untuk mengalirkan haba daripada blok aluminum tersebut.
Rekabentuk kad grafik ini juga agak besar, kerana penyejuk WindForce baru ini dibina khusus untuk menyejukkan cip pemprosesan grafik GP102 ini, yang juga digunakan dalam kad grafik NVIDIA yang paling berkuasa sebelum ini, NVIDIA GTX Titan X Pascal. Dalam pada itu, kad grafik ini, seperti banyak kad grafik tahap premium, mempunyai jaluran lampu LED RGB dengan 16.8 juta warna yang berbeza.
Dari segi port input dan output pula, kad grafik GTX 1080 Ti AORUS Extreme Edition ini mempunyai dua port HDMI, dua port DisplayPort dan satu port DVI. Kad grafik 10-series dari NVIDIA ini juga dibina khusus untuk penggunaan dengan headset realiti maya, jadi kad grafik ini juga mempunyai satu port HDMI khusus untuk VR-Link.