HP sebelum ini telah hadir dengan beberapa komputer riba yang direkabentuk dengan menarik, dan terkini, HP Malaysia turut telah mengumumkan HP Spectre x360 generasi baru yang hadir dengan pelbagai spesifikasi terkini.
HP Spectre x360 merupakan kemaskini pada komputer riba dengan nama sama sebelum ini. Untuk tahun ini, HP menawarkan sedikit kemaskini pada rekaan, selain melengkapkan ia dengan cip pemprosesan Intel Core generasi ketujuh atau Kaby Lake.
Dari segi spesifikasi, ia hadir dengan skrin 13.3-inci pada resolusi 1080p, dilengkapi memori sehingga 8GB, sokongan storan 256GB berasaskan SSD, serta dilengkapi sokongan USB-C dan USB-A. HP turut menyertakan kamera hadapan dengan sokongan Windows Hello, selain sokongan pengecasan pantas pada komputer riba ini – membolehkan pengecasan sehingga 90% dalam masa 90 minit.
Jikalau dibandingkan dengan sebelumnya, HP Spectre x360 baru ini menawarkan rekaan yang lebih kompak dan sedikit nipis. HP mengatakan komputer riba baru ini menawarkan masa penggunaan selama 15 jam lamanya dengan sekali pengecasan – membolehkan ia digunakan sepanjang hari ketika di pejabat. Pengguna juga turut boleh melaraskan ia untuk digunakan dalam empat mod berbeza – sama ada untuk tugasan, tablet, ataupun menonton multimedia.
Di Malaysia, HP Spectre x360 ini ditawarkan pada harga bermula RM4999 untuk model Intel Core i5-7200U, sementara model Intel Core i7-7500U ditawarkan pada harga RM5999.