Di dalam pembentangan belanjawan negara 2017 Jumaat lalu, yang amat berhormat Perdana Menteri ada menyentuh tentang penurunan harga perkhidmatan internet di Malaysia menjelang 2018. Maklumat lebih terperinci mengenai pakej baru ini tidak pula diketahui pada waktu tersebut. Hari ini pihak TM akhirnya berkongsi maklumat mengenai pelarasan harga dan kelajuan Internet yang ditawarkan untuk pakej yang ditawarkan oleh mereka.
Bermula satu Januari 2017, kesemua pelanggan Unifi dan Streamyx akan menerima penaiktarafan ke pelan lebih pantas sehingga dua kali ganda kepantasan pelan semasa. Pelanggan Unifi Advance Plan 30 akan dinaik taraf ke Advance Plan 50 pada harga semasa. Pelanggan Advance Plan 50 plan pula akan dinaiktaraf ke Pro Plan 100. Seperti yang ana boleh lihat tidak kesemua pelanggan pelan yang ditawarkan akan menerima penaiktarafan kelajuan sebanyak dua kali ganda.
Sebelum penaiktarafan kelajuan dilakukan, pihak TM akan terlebih dahulu mendapatkan persetujuan pelanggan. Penaiktarafan kepada pakej lebih pantas bergantung kepada kewujudan pakej tersebut serta kemampuan infrastruktur kawasan yang didiami mereka.
Pihak TM akan berkongsi lebih banyak maklumat mengenai pakej yang dilanggani pelanggan pada bulan Disember hadapan. Apa yang pasti pelanggan sedia ada tidak akan diberikan pilihan untuk kekal pada kelajuan sedia ada tetapi hanya membayar separuh harga. Pakej tanpa HyppTV juga tiada dalam perancangan buat masa ini. Bagi pelanggan sedia ada, bersedialah untuk peningkatan kelajuan Internet yang anda langgani pada tanggal 1 Januari hadapan.