Kes viral yang menimbulkan keaiban dan penipuan secara dalam talian semakin kerap berlaku termasuk dalam kalangan mahasiswa pada masa ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kedua-dua jenayah itu menunjukkan peningkatan amat ketara yang termasuk dalam kategori kegiatan jenayah siber yang mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat.
"Tindakan viral sehingga mendatangkan keaiban boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
"Kesalahan penipuan membabitkan penjualan dan pembelian barangan serta perkhidmatan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta 424 Kanun Keseksaan," katanya ketika melancarkan Minggu Pencegahan Jenayah bersama penuntut dan ahli Kelab Pencegahan Jenayah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Jeli, di sini, hari ini.
Beliau menasihatkan masyarakat terutama pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) supaya tidak terjebak dalam kegiatan jenayah siber itu.